Zakat pengeluaran KWSP i-Lestari atau i-Sinar

Anda sudah membuat pengeluaran KWSP melalui i-Lestari atau i-Sinar? Terdapat lebih kurang 60,000 keluarga asnaf yang masih disantuni dan memerlukan di Selangor.

Jangan lupa kepada mereka, tunaikan Zakat anda sekarang di kaunter zakat maya Penolong Amil Zakat IPT UniKL LZS di website link ZakatUniKL. com

Sedikit bagi anda, segalanya buat mereka.

Isu Zakat KWSP (Pengeluaran biasa, i-Sinar & i-Lestari)

Q: Adakah pengeluaran KWSP wajib dizakatkan?

A: Ya, jika anda mengeluarkannya, maka ia wajib dizakatkan. Sila darab 2.5% ke atas keseluruhan pengeluaran.

Q: Bukankah wajib tunggu setahun?

A: Tak wajib, kerana KWSP adalah sebahagian daripada harta pendapatan yang tidak ada haul padanya.

Q: Saya pelik, nama SIMPANAN tetapi kenapa disebutkan zakat pendapatan?

A: Nama simpanan itu adalah pada sisi KWSP, tetapi dari aspek harta ia adalah sebahagian daripada harta pendapatan yang diasingkan lebih awal pada setiap bulan daripada gaji bulanan (yakni belum dizakatkan).

Q: Jika jumlah pengeluaran KWSP saya itu di bawah paras nisab, adakah kena zakat juga?

A: Ya. Sila gabungkan jumlah pengeluaran KWSP itu dengan lain-lain pendapatan pada tahun semasa (seperti gaji tetap, bonus, hasil kerja bebas, hasil sewaan, hasil perniagaan bermusim dsb). Jika ia melebihi had al-kifayah dan juga nisab, maka wajiblah ia dizakatkan (sila rujuk https://www.zakatselangor.com.my/zakat-pendapatan/ untuk tujuan pengiraan berasaskan had al-kifayah).

Q: Jika saya memang menunaikan zakat pendapatan bulanan daripada gaji tetap, adakah saya perlu mengira seperi di atas setelah mendapat KWSP (digabungkan dahulu)?

A: Tak perlu. Sila darabkan terus 2.5% atas pengeluaran KWSP itu, kerana ternyata sebelum digabungkan dengan pendapatan-pendapatan lain pun, anda sudah wajib berzakat.

Q: Saya memang sudah membayar zakat pendapatan bulanan daripada gaji saya, adakah wajib bayar zakat KWSP itu lagi?

A: Ya wajib. Kerana, zakat pendapatan bulanan itu adalah berbeza dengan zakat KWSP. Ia adalah sebahagian pendapatan yang diasingkan lebih awal dan belum dizakatkan.

Q: Bukankah simpanan dalam KWSP saya sudah bersih, kerana saya sudah tunaikan zakat melalui gaji bulanan saya sebelum itu?

A: Tidak, masih belum bersih. Kerana amaun 11% daripada gaji telah diasingkan lebih awal untuk dicarumkan ke dalam KWSP. Lagi pun, simpanan itu turut ditambah dengan amaun caruman majikan di dalamnya.

Q: Adakah pihak KWSP sudah menzakatkan atas wang simpanan KWSP saya itu?

A: Tidak. Pihak KWSP tidak pernah menzakatkan atas simpanan KWSP pencarumnya. Maka, pencarum wajib mengeluarkan sendiri zakat atas simpanan mereka apabila dikeluarkan.

Q: Jika saya dapat KWSP itu lalu bayar hutang bagaimana?

A: Sila tunaikan dahulu zakat dan baharulah bayar hutangnya.

Q: Adakah ada sebarang pengecualian sehingga saya tak perlu bayar zakat KWSP?

A: Ada beberapa sebab membolehkan zakat dikecualikan, iaitu apabila pengeluaran itu memenuhi tiga syarat ini, iaitu (a) terdesak, (b) keperluan asasi dan (c) tiada pilihan lain lagi.Contoh: Pengeluaran untuk memenuhi kos pembedahan yang sangat besar dan orang berkenaan sudah tidak ada sebarang sumber lain lagi untuk menampung kos berkenaan.

Q: Saya mendapat KWSP i-Sinar dan i-Lestari dalam keadaan beransur-ansur. Jadi, perlukah saya tunggu semuanya diperolehi sebelum dikeluarkan zakatnya?

A: Boleh dilumpsumkan atas keseluruhannya biar pun ada yang belum diperolehi. Jika dibayar awal hukumnya harus.

Q: Pihak KWSP ada mengeluarkan keputusan dan panduan syariah tatacara membayar zakat KWSP, perlukah saya mematuhinya?

A: Tatacara menunaikan zakat KWSP perlu merujuk kepada keputusan syariah dan fatwa yang dikeluarkan oleh JK Fatwa Negeri Selangor, kerana pihak JK Penasihat Syariah KWSP hanya memberikan cadangan dan ia tidak mempunyai autoriti dalam mengeluarkan fatwa.

Q: Jika saya dibuang kerja dan sekarang bergantung sepenuhnya kepada pengeluaran KWSP, adakah saya wajib bayar zakat juga?

A: Bagi mereka yang (a) terdesak kerana dibuang kerja atau sebagainya; dan (b) tidak ada pilihan lain lagi untuk menjana pendapatan atau terputus pendapatan dan (c) keperluan yang berada di hadapannya bersifat asasi, maka sila manfaatkan wang KWSP untuk perkara berkenaan. Jika habis wang KWSPnya maka dimaafkan.

Q: Saya mendapat RM60K daripada KWSP, dan saya menjangkakan ia cukup untuk menampung keperluan saya sehingga enam bulan atau 12 bulan ke depan dengan syarat saya tak mengeluarkan zakat. Bolehkah jika saya idak mengeluarkan zakat?

A: Unjuran masa ke depan adalah di luar batas pemikiran dan keupayaan kita. Sekiranya anda mendapat pekerjaan dalam tempoh terdekat, maka tiga syarat pengecualian zakat KWSP di atas sudah luput. Maka, wajiblah anda berzakat.Wallahua’lam.

Disediakan oleh:

Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid,

Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah,

Lembaga Zakat Selangor (MAIS).