Jom bayar Zakat perniagaan Anda melalui kaunter maya ZakatUniKL.com
Soalan lazim berkaitan Zakat Perniagaan.
Q: Apakah zakat perniagaan?
A: Perniagaan merupakan harta yang sudah dikenakan zakat sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi. Ada tujuh harta zakat pada zaman nabi, iaitu emas, perak, matawang, pertanian, penternakan, galian dan perniagaan.
Q: Ada tak dalilnya?
A: Dalilnya, Samurah bin Jundub menyatakan: “Sesungguhnya Rasulullah memerintahkan kami untuk mengeluarkan sedekah (zakat) daripada apa yang kami persiapkan untuk diperniagakan.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Q: Apakah jenis perniagaan yang wajib dizakatkan?
A: Zakat perniagaan merujuk kepada semua jenis perniagaan yang dijalankan oleh orang Islam, sama ada persendirian, perkongsian, syarikat dan koperasi. Perniagaan juga boleh jadi dari jenis perkhidmatan atau penghasilan produk. Pendek kata, semua jenis perniagaan wajib dizakatkan jika sudah menepati syarat-syarat wajib yang ditetapkan oleh syarak.
Q: Apakah syarat-syarat wajib zakat perniagaan?
A: Syarat-syarat wajib zakat perniagaan ada tujuh, iaitu:a) Islamb) Merdekac) Sempurna milik ke atas perniagaand) Mencapai nisabe) Mencapai haulf) Barangan itu diniatkan untuk perniagaang) Perniagaan itu mestilah mematuhi hukum syarak
Q: Apakah ada formula bagi mengira zakat perniagaan ini?
A: Ya. Bagi mengira zakat perniagaan, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) misalnya telah mencipta sejenis formula mudah seperti berikut:[(Tunai (ditangan dan bank) + Inventori + Kreditor)] – [(Perbelanjaan terakru + Debtor)] = Baki jika mencapai atau melebihi nisab x 2.5% = Zakat.Nota: Tunai ialah modal atau keuntungan. Inventori ialah stok barangan. Kreditor ialah hutang perniagaan yang akan diperolehi. Bayaran terakru merujuk kepada liabiliti semasa perniagaan seperti bayaran utiliti, gaji, sewa dan sebagainya. Debtor ialah hutang perniagaan yang perlu dibayar kepada pihak lain.
Q: Jika non muslim berkongsi perniagaan dengan muslim, bagaimana?
A: Bagi orang Islam yang menjalankan perniagaan berkongsi dengan nonmuslim, maka zakat dikenakan kepada pemilikan muslim sahaja. Jadi, setelah dikirakan zakatnya hendaklah didarab dengan peratusan pemilikan muslim.Formula: Jumlah harta perniagaan wajib zakat x Peratusan milikan muslim x 2.5 peratus = Zakat.
Q: Adakah meniaga dalam skala kecil pun kena kira macam di atas juga?
A: Bagi perniagaan berskala kecil seperti warung di tepi jalan atau berbentuk bermusim seperti musim raya, musim buah dan sebagainya, maka ia lebih sesuai dengan kaedah mengambil untung setelah menolak kos (Profit and Lose). Formulanya: Keuntungan kasar – kos ditanggung = Hasil bersih jika mencapai atau melebihi nisab x 2.5 peratus = Zakat.
Q: Jika rugi adakah masih kena keluarkan zakat perniagaan?
A: Dalam taksiran perniagaan, ia tidak melihat kepada keuntungan semata-mata. Sebaliknya, ia melihat kepada jumlah keseluruhan harta perniagaan yang dimiliki, iaitu modal dan stok barangan yang sudah siap. Jika jumlah keseluruhannya masih mencapai atau melebihi nisab, maka ia masih wajib dizakatkan.
Q: Bagaimana menentukan haul zakat perniagaan?
A: Haul zakat perniagaan ditentukan dengan melihat kepada tarikh permulaan perniagaan berkenaan. Misalnya, jika perniagaan bermula pada 1 April 2020, maka pada 1 April 2021 sudah cukuplah haul perniagaan. Maka ketika itulah dilihat adakah perniagaan berkenaan sudah mempunyai cukup nisab untuk dizakatkan ataupun tidak. Namun begitu, bagi tujuan perakaunan maka bolehlah dibuat satu tarikh tertentu untuk tujuan pembayaran zakatnya, misalnya di awal atau di akhir tahun.
Q: Apakah aset lapuk?
A: Dalam perniagaan aset lapuk adalah item yang tidak lagi mampu terjual setelah bertahun-tahun disimpan sehingga ketinggalan zaman. Misalnya dalam perniagaan hartanah (rumah misalnya). Maka, aset lapuk itu boleh dikeluarkan daripada stok semasa mengira zakat perniagaan. Ia hanya diambil kira apabila terjual pada tahun berkenaan sahaja. Ia tidak perlu dicampurkan dalam taksiran zakat perniagaan pada tahun berkenaan.
Q: Bagaimana dengan ambilan dari perniagaan milikan tunggal?
A: Bagi mereka yang menjalankan perniagaan dan pada masa yang sama mengambil gaji daripada perniagaan itu, maka di sisi mereka ada dua jenis zakat yang wajib ditunaikan. Pertama zakat atas pendapatan yang diterima, keduanya zakat ke atas entiti perniagaannya. Tidak memadai hanya mengeluarkan zakat ke atas perniagaan, kerana gajinya adalah harta yang berbeza dengan zakat perniagaannya.
Q: Apakah cara mengira zakat perniagaan emas?
A: Bagi mereka yang membuka toko emas, maka stok ke atas emas dikira bagi semua emas sama ada yang sudah menjadi emas perhiasan mahu pun emas yang belum menjadi perhiasan, iaitu emas mentah atau emas yang rosak. Ini kerana, emas adalah sejenis harta yang tetap mempunyai nilai biar pun dalam bentuk mentah atau rosak.
Q: Bagaimana dengan zakat perniagaan selain emas?
A: Ia tidak sama dengan perniagaan selain emas. Misalnya kilang baju. Bagi mereka yang menjalankan perniagaan seperti itu, maka stok dagangan hanya diambil kepada barang-barang yang sudah jadi, iaitu barangan yang sudah boleh ditukar kepada wang. Maka, hanya baju yang sudah siap diambil kira semasa pengiraan zakat perniagaan. Manakala bahan mentah kepada pakaian, seperti benang, jarum dan kain tidak diambil kira.
Q: Apakah ada zakat ke atas perniagaan haram?
A: Bagi perniagaan yang haram, sama ada transaksinya haram ataupun perkhidmatan dan barangannya adalah haram, ia tidak boleh dizakatkan. Nabi Muhammad SAW menyatakan: “Barang siapa yang mengumpulkan harta dari cara yang haram kemudian ia bersedekah (berzakat) darinya, maka ia tidak mendapatkan pahala apa pun, bahkan ia tetap menanggung dosa dari harta haram tersebut.“ (Hadis riwayat Imam al-Baihaqi, al-Hakim, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)
Q: Ada tak pelepasan cukai bagi muslim yang bayar zakat perniagaan?
A: Ya. Bagi seseorang peniaga muslim, maka pihak kerajaan membenarkan mereka memperolehi potongan ke atas cukai perniagaan yang ditunaikan. Namun ia tidak bersifat seperti rebat zakat individu ke atas cukai pendapatan individu. Hanya potongan ke atas cukai perniagaan maksimum 2.5 peratus daripada pendapatan agregat perniagaan sahaja dibenarkan.Maka, mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan atau bersaiz sederhana kecil yang tidak dikenakan cukai ke atas perniagaan, selalunya membuat bayaran zakat atas nama individu untuk mendapatkan rebat cukai pendapatan sepenuhnya. Sila rujuk Akta Cukai Pendapatan 1967, Perkara 6A (3) yang mengizinkan rebat sepenuhnya bagi cukai individu.
Selalunya, apabila sesebuah syarikat ataupun koperasi mengambil inisiatif untuk membayar zakat perniagaan bagi syarikat atau koperasi, maka itu bermakna zakat ke atas seluruh harta perniagaan termasuklah modal yang disumbangkan oleh pemegang saham sudah ditunaikan zakatnya. Maka, para pemegang saham dalam syarikat tidak perlu lagi mengeluarkan zakat atas jumlah saham yang mereka miliki, kerana ia sudah pun dizakatkan. Namun bagi saham di bursa sedikit berbeza, kerana hanya mereka yang memiliki pelaburan terbesar sahaja sudah dizakatkan oleh pihak syarikat perniagaan.
Wallahua’lam.
Disediakan oleh:
Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid,
Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah,
Lembaga Zakat Selangor (MAIS).